PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-EMPAT

SEKILAS PANDANG
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 10 Julai 1925. Beliau yang cukup dikenali dengan "Dr. M" merupakanPerdana Menteri Malaysia yang keempat. Menggunakan nama timangannya sendiri, "Che Det" sebagai nama pena, beliau banyak menulis dengan artikel pertamanya disiarkan oleh akhbar The Straits Times Singapura pada 20 Julai, 1947 bertajuk “Malay Women Make Their Own Freedom” (Wanita Melayu Mencipta Kebebasan Sendiri). Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan dari kejayaan negara-negara luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga pernah dinamakan sebagai salah sebuah negara 'Harimau Ekonomi Asia'.
Usaha beliau yang paling diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah ketika membawa Malaysia keluar dari Krisis Kewangan Asia 1997dimana beliau telah menolak cadangan dan juga dana bantuan dari IMF yang beliau sifatkan akan memburukkan lagi krisis. Langkah-langkah radikal yang diambil[4] dikiritik hebat ketika itu oleh banyak pihak termasuk IMF sendiri. Malah, usaha tersebut turut dikecam walaupun lama selepas kemelut berakhir dimana beliau menyatakan kecaman dan pujian adalah norma ahli politik dan terserah kepada penilaian mana-mana pihak[6].
Beliau merupakan seorang tokoh politik yang bersifat vokal berhubung isu-isu antarabangsa sehingga ada yang mencetuskan kontroversi. Beliau menyokong "Sistem Ekonomi Pasaran" terkawal sebagai alternatif kepada "Sistem Ekonomi Persendirian" dan secara amnya menolak "Pasaran Bebas" (laissez-faire)
Gaya pemerintahan Dr. Mahathir juga sering kali dikritik dengan dilabelkan sebagai autokratik oleh pelbagai pihak termasuk badan dan media antarabangsa (contohnya, tajuk artikel tentang persaraan beliau oleh The New York Times menyimpulkan sifat autokratik beliau sepanjang karier politiknya terutama berhubunng Akta Keselamatan Dalam Negeri yang beliau terangkan sebagai tindakan pencegahan yang hanya diambil atas desakan semasa (penjelasan beliau diterima dan ditolak pembaca dengan pelbagai hujah)]. Selain itu, beliau tidak dapat lari dari tuduhan kronismeseperti pemimpin-pemimpin lain di dunia.
Antara projek-projek berprofil tinggi (juga digelar 'projek mega') yang dibangunkan pada zaman pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang,Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya danLitar Antarabangsa Sepang.
Bersara pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun. Beliau turut dinobatkan sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia" kerana berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah Negara industri baru yang disegani di kalangan negara-negara membangun. Tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia.

LATAR BELAKANG
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah tanggal 10 Julai 1925. Merupakan anak bongsu daripada 9 adik-beradik dari pasangan Mohamed Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanapi. Tarikh lahir beliau yang didaftarkan pada 20 Disember 1925 (kesemua adik-beradik beliau didaftarkan lahir pada bulan Disember) oleh bapannya adalah untuk memudahkan urusan pendaftaran persekolahan[1].
PENDIDIKAN
Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Selepas lulus, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Government English School (GES) (kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid), Alor Setar pada tahun 1932. Sewaktu semua sekolah ditutup di eraPendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau telah membuka kedai kopi secara kecil-kecilan dan kemudiannya berniaga pisang goreng. Setelah tamat Perang Dunia Ke-2, beliau menyambung pelajarannya di sekolah yang sama pada tahun 1945 sehingga peringkat Sijil Tinggi Pelajaran (Senior Cambridge).
Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, Singapura, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953. Selepas mendapat ijazah, beliau ditugaskan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia.
KERJAYA DAN KELUARGA
Pada tahun 1954, Dr. Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957. Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu empat lelaki dan tiga perempuan. Anak-anak beliau adalah:
§  Maizura
§  Mazhar
Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim. Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Setar yang pada ketika itu terdapat lima buah klinik sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar dan kekal sehingga sekarang.
KERJAYA POLITIK
Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945 yang mana beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union. Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946, beliau adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Sebagai Pengerusi Parti Negeri Kedah, dan Pengerusi Jawatankuasa Politik, beliau dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah di golongan yang mempunyai perkaitan dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959. Berasa sakit hati atas penuduhan bahawa beliau hendak memilihkan calon-calon yang rapat dengannya, Dr Mahathir enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.
Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2%. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa, dengan cuma 989 undi sahaja, selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.
Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman. Dalam suratnya, beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku. Pada 26 September 1969, Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO.
Semasa di luar parti, Tun Dr Mahathir mengarang buku "Dilema Melayu" (The Malay Dilemma). Buku kontroversi itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu telah diharamkan pada tahun 1970 dan pengharamannya hanya ditarik balik selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun kemudiannya[11]
Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Beliau bertanding di Kubang Pasupada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding. Selepas pilihan raya, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya. Tidak lama selepas itu Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
Pada pertengahan 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya. Pada 10 Julai, 1981 Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, dan lapan hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Pada 31 Oktober, 2003, Dr Mahathir bersara dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya.
Dr Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 dalam satu ceramah di Alor Setar, Kedah kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi . Bagaimanapun dalam Perhimpunan Agung UMNO 2008 pada Mac 2009, Dr Mahathir menghadiri hari terakhir perhimpunan itu sebagai jemputan. Dr Mahathir kembali menyertai UMNO .Nombor ahli 0000001 dikekalkan.[12]
KESIHATAN
Pada 24 Januari 1989 Dr Mahathir Mohamad pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL), Kuala Lumpur.
Pada 9 November 2006, beliau sekali lagi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana serangan jantung setelah saluran darah arteri tersumbat.
Pada 14 Mei 2007, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Langkawi selepas kesukaran bernafas pada jam 4.00 petang.
Pada 4 September 2007, Dr Mahathir Mohamad menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di IJN selama 5 jam. Pembedahan diketuai pakar jantung terkemuka, Tan Sri Dr. Yahya Awang, Datuk Dr. Razali Wathooth, Datuk Dr. Azahari Yakub, Datuk Dr. Venugopal Balchand, Datuk Ezani Mohd. Taib dan Ketua Pakar Bedah Kardiologi Klinik Mayo di California, Amerika Syarikat, Prof. Dr. Hartzell Schaff. Ini merupakan pembedahan saluran darah arteri kali ke-2.
Pada 15 September 2007, sekali lagi beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di IJN jam 7.00 pm. Ketika itu beliau berusia 82 tahun.[13]
Malam 2 Oktober 2010, di Melbourne, Australia, Tun Dr Mahathir telah dimasukkan ke Hospital Epworth akibat sakit batuk dan selesema. Kemasukan beliau ke hospital tersebut disahkan oleh pegawai khasnya, Sufi Yusof. Dr Mahathir pergi ke Melbourne bertujuan untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab UMNO Australia Melbourne di University of Melbourne.
KONTROVERSI
Krisis Perlembagaan
Pada tahun 1983 dan 1991, Mahathir berdepan dengan pihak Raja dan Sultan dengan membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka dari dihukum. Sebelum pindaan ini, setiap Bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Agung. Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung. Bagaimanapun, perkara ini hanya untuk undang-undang sekular dan Sultan masih berkuasa dalam undang-undang Islam yang berada di bawah bidang kuasa mereka.
Pada tahun 1988, apabila UMNO diisytiharkan haram oleh Mahkamah Agung, Mahathir dipercayai[perlu rujukan] merencanakan pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan tiga orang lagi hakim Mahkamah Agung yang cuba untuk menghalang kes tersebut. Siri insiden 1988 ini dilihat sebagai titik hitam sejarah perundangan negara Malaysia yang sepatutnya bebas dari campur tangan pihak eksekutif. Mahathir selaku ketua badan eksekutif telah mencampuri urusan badan kehakiman ketika itu.
Pemecatan Anwar Ibrahim
Pada tahun 1998, kerajaan di bawah pimpinan Mahathir mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa. Anwar pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Anwar mendakwa bahawa beliau dizalimi kerana beliau membawa isu korupsi dan nepotisme dan Mahathir serta orang-orangnya adalah sasaran bagi tuduhan tersebut. Penyokong Mahathir pula percaya bahawa Anwar sebenarnya korupsi dan nepotisme dan cuba untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas melihat kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia atas isu yang sama.
Krisis Anwar membawa kepada protes besar-besaran yang dikenali sebagai "Gerakan Reformasi" dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999. Namun begitu, PKR hanya memenangi lima kerusi Parlimen pada pilihan raya tersebut dan hampir pupus pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen diPermatang Pauh yang dimenangi oleh isteri Anwar, Dr Wan Azizah. Parti tersebut walaubagaimanapun berjaya mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 dengan memenangi 31 kerusi Parlimen, jumlah terbesar antara semua parti-parti pembangkang di Malaysia.
KELUAR UMNO
Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO[14]. Beliau mendakwa bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. Beliau turut menyatakan sebab bahawa UMNO kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan mengutamakan kepentingan keluarganya sehingga membelakangkan negara di samping beberapa lagi sebab lain. Pengumuman keluar UMNO ini dibuat ketika beliau berucap di hadapan 1,000 orang di Alor Star, Kedah.
Sesetengah pemerhati politik berpendapat tindakan keluar UMNO berkait rapat dengan cubaan gagal Dr Mahathir untuk mendesak Abdullah turun dari jawatan sebagai presiden UMNO. Menurut sebuah tabloid The Malaysian Insider, Dr Mahathir mengadakan perjumpaan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 18 Mei 2008. Perjumpaan itu berkemungkinan tidak berhasil memujuk Najib menentang Abdullah menyebabkan Mahathir tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dari UMNO[15].
Mengulas pengumuman Mahathir keluar dari UMNO, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam di dalam tabloid dilaporkan berkata 'duri dalam daging sudahpun terkeluar' dan pucuk pimpinan UMNO pula harus menerima realiti bahawa UMNO tidak sekuat dahulu dan konsep 'Mahathirisme' sudah berlalu[16].
Sehari selepas perlantikan secara rasmi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dr. Mahathir bersama-sama isterinya, Dr. Siti Hasmah dan anak mereka, Datuk Mokhzani telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli UMNO semula. Upacara tersebut berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.[17] Bertitik tolak kemasukan inilah UMNO menjadi kuat semula dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara yang diterajui UMNO semakin dipulihkan[perlu rujukan].

HASIL PENULISAN
Buku
§  The Challenge,(1986) ISBN 967-978-091-0
§  Regionalism, Globalism, and Spheres of Influence: ASEAN and the Challenge of Change into the 21st century (1989) ISBN 981-3035-49-8
§  The Pacific Rim in the 21st century,(1995)
§  The Challenges of Turmoil, (1998) ISBN 967-978-652-8
§  The Way Forward, (1998) ISBN 0-297-84229-3
§  A New Deal for Asia, (1999)
§  Islam & The Muslim Ummah, (2001) ISBN 967-978-738-9
§  Globalisation and the New Realities (2002)
§  Reflections on Asia, (2002) ISBN 967-978-813-X
§  The Malaysian Currency Crisis: How and why it Happened,(2003) ISBN 967-978-756-7
§  Achieving True Globalization, (2004) ISBN 967-978-904-7
§  Islam, Knowledge, and Other Affairs, (2006) ISBN 983-3698-03-4
§  Principles of Public Administration: An Introduction, (2007) ISBN 978-983-195-253-5
§  Chedet.com Blog Merentasi Halangan (Bilingual), (2008) ISBN 967-969-589-1
§  A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad, (8 Mac 2011) ISBN 978-967-599-722-8

Penulisan Blog
Beliau mula menulis blog pada 1 Mei 2008 pada pukul 1:27 AM, dengan penulisan beliau "The Appointment of Judges". Pada 19 Jun, blog beliau telah berpindah ke laman baru yang lebih dipercayai dan selamat simpanannya.[18]
Kini blog beliau terletak di http://chedet.cc/blog/.

GARIS MASA
§  1925: Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 20 Disember.
§  1945: Mengambil bahagian dalam penentangan Malayan Union.
§  1946: Menjadi ahli UMNO semasa ia ditubuhkan.
§  1953: Mendapat ijazah perubatan dari Kolej Perubatan King Edward (yang kemudiannya dikenali sebagai Universiti Malaya) di Singapura;
§  1954: Berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Alor Star, Hospital Langkawi, Hospital Jitra dan Hospital Perlis.
§  1957: Berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik di Alor Setar.
§  1964: Dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar atas tiket Parti Perikatan selepas beliau menewaskan calon PAS, Mohd Shaari Haji Abdul Shukur, dengan majoriti 4,210 undi; Dr Mahathir mendapat 12,406 undi, sementara Mohd Shaari mendapat 8196 undi.
§  1965: Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO.
§  1968: Dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pelajaran Tinggi.
§  1969: Ditewaskan oleh calon Pas, Haji Yusoff Rawa dalam Pilihanraya pada 10 Mei, dengan 989 undi di kawasan Kotar Setar; beliau dikatakan kalah kerana kehilangan "undi Cina" apabila beliau mengumumkan bahawa beliau tidak perlu undi Cina untuk memenangi dalam pilihanraya;
§  Dipecat jawatan daripada Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, berikutan pengedaran suratnya kepada Tunku Abdul Rahman;
§  Diberhentikan keahliannya dalam UMNO pada 26 September.
§  1970: Mengeluarkan buku dalam bahasa Inggeris yang bertajuk "Dilema Melayu" (The Malay Dilemma); buku ini diharamkan dengan serentak.
§  1972: Diterima kembali menjadi ahli UMNO pada 7 Mac;
§  Dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Perindustrian Makanan Malaysia (FIMA).
§  1973: Dilantik sebagai senator.
§  1974: Dilantik sebagai Pengerusi Majlis Universiti Nasional;
§  Melepaskan jawatan sebagai senator untuk bertanding di Pilihanraya 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding;
§  Dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 5 September.
§  1975: Menjadi salah satu daripada tiga naib presiden UMNO, selepas memenangi dengan majoriti sebanyak 47 undi.
§  1976: Menjadi Timbalan Presiden UMNO pada 5 Mac.
§  1978: Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh Tun Hussein Onn pada 15 September;
§  Melepaskan jawatan sebagai Menteri Pelajaran untuk menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (1 Jun 1978 - Julai 1981);
§  1981: Menjadi Presiden UMNO pada 26 Jun, dan Perdana Menteri Malaysia ke-empat pada 10 Julai, berikutan perletakan jawatan Tun Hussein Onn atas sebab-sebab kesihatan;
§  Menjadi Menteri Pertahanan (18 Julai, 1981 - 6 Mei, 1986) disamping memegang jawatan Perdana Menteri;
§  Melancarkan slogan-slogan "Bersih, Cekap dan Amanah", "Kepimpinan Melalui Teladan", the "Dasar Pandang ke Timur", "Pemupukan Nilai-nilai Islam", dan polisi pemulauan barang UK ("Buy British Last");
§  Mencepatkan masa sebanyak setengah jam di Semenanjung Malaysia untuk menyeleraskannya dengan Malaysia Timur;
§  Meminta maaf daripada Tunku Abdul Rahman secara umum;
§  Menarik balik pengharaman buku Dilema Melayu (The Malay Dilemma)
§  Merancangkan serangan subuh dengan pengambilan kembali Guthrie Corporation oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB) di Bursa Saham London pada 7 September, supaya memulangkan hakmilik lebih kurang 200,000 ekar tanah pertanian kepada rakyat Malaysia.
§  1983: Mengemaskinikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-sultan, supaya rang undang-undang yang diputuskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dapat menjadi akta, selepas penerimaan pendapat Yang Di-Pertuan Agung ataupun Sultan-sultan negeri masing-masing;
§  Menubuhkan PROTON, sebuah projek kereta nasional.
§  1986: Datuk Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 27 Februari;
§  Menjadi Menteri Dalam Negeri pada 7 Mei di samping memegang jawatan Perdana Menteri;
§  Suatu pertikaian tertimbul dengan negeri Singapura tentang lawatan rasmi Chaim Herzog, Presiden negara Israel.
§  1987: Menewaskan cabaran Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO dengan majoriti yang nipis sekali pada 24 April;
§  Menjadi Menteri Kehakiman di samping memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri Malaysia.
§  1988: Memecat empat hakim Mahkamah Tertinggi, termasuk Tun Salleh Abas kerana menghalang perbicaraan tentang salah laku tata tertib semasa kehadapan UMNO akan diputuskan oleh Mahkamah Tertinggi (pada masa itu, UMNO telah diharamkan oleh Makhamah Tinggi);
§  1990: Menjadi Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri (Oktober 1990 - Januari 1999) di samping memegang jawatan Perdana Menteri.
§  1993: Melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri;
§  Mengehadkan pengecualian Sultan-sultan daripada pendakwaan, selepas peristiwa Douglas Gomez;
§  Perhubungan di antara Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin Australia merosot apabila Paul Keating mewajahkan Dr. Mahathir sebagai seorang yang degil ("recalcitrant") kerana enggan menghadiri Persidangan APEC.
§  1997: Menetapkan nilai mata wang Malaysia pada 1 September supaya mengatasi Krisis Kewangan Asia 1997.
§  1998: Memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari semua jawatan dalam kerajaan dan dalam UMNO pada 2 September;
§  Mendakwa Anwar Ibrahim atas kesalahan liwat dan penyalahgunaan kuasanya; Anwar dihadapkan ke mahkamah pada 2 November;
§  Pergaulan dengan Amerika Syarikat menjadi buruk apabila Al Gore, Naib Presiden Amerika Syarikat, merendahkan nama baik negara Malaysia di Persidangan APEC yang pada masa itu dianjurkan oleh Malaysia.
§  Melantik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri;
§  Pembukaan rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, yang menelan kos sebanyak RM13 bilion;
§  Penghabisan pembinaan Menara Berkembar Petronas yang mempunyai 88 tingkat, iaitu menara berkembar yang tertinggi di dunia;
§  Dipilih sebagai "Asia's Newsmaker of 1998" oleh Majalah TIME.
§  1999: Menjadi Menteri Kewangan Pertama pada 8 Januari, di samping memegang jawatan Perdana Menteri ketika Malaysia masih mengalami Krisis Ekonomi 1997;
§  Pembukaan rasmi Cyberjaya, sebuah bandar yang baru yang memainkan peranan yang penting dalam Koridor Raya Multimedia Malaysia.
§  2001: Menjadi Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-tugas Khas (5 Jun 2001) disamping memegang jawatan Perdana Menteri.
§  2002: Mengumumkan penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajarkan mata pelajaran Matematik dan Sains, mulai tahun 2003;
§  Mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO, tetapi telah dirayu untuk membuat penangguhan selama 18 bulan.
§  2003: Bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober, 2003 dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi, sebagai pengganti; beliau memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun, dan terjadi salah satu daripada pemimpin-pemimpin negara Asia yang paling lama perkhidmatannya;
§  Dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia.
§  2008: Dianugerahkan Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W.) membawa gelaran "Datuk Seri Utama".
ANUGERAH
§  2003 - Darjah Kerabat (DK) Kedah[19]
§  2003 - Satria Bintang Sarawak (SBS); Membawa gelaran Pehin Sri



0 comments:

Post a Comment